Friday, 12 April 2013

Pengalaman Menjadi Guru 40 Minit


Coretan 22
Pengalaman Menjadi Guru 40 Minit

Pada 10 April yang lepas, saya telah berkesempatan untuk menjadi guru di sebuah sekolah iaitu di Sekolah Menengah Luar Bandar No. 1 Sibu di Sarawak. Sebenarnya menjadi guru pada masa itu merupakan satu tugasan salah satu kursus yang saya ikuti di universiti iaitu saya dikehendaki menjalankan pengajaran makro di sebuah sekolah selama 40 minit atau satu masa sesi pengajaran. Pada masa tersebut barulah saya mengetahui bagaimana keadaan sebenar untuk melakukan sesuatu sesi pengajaran. Pelaksanaan untuk melaksanakan sesi pengajaran bukalah sesuatu yang mudah.

Sehari sebelum itu saya terpaksa berjumpa dengan pengetua untuk meminta kebenaran untuk melakukan pengajaran makro di sekolah tersebut. Bersyukur sekali lagi kerana pengetua sekolah sekolah tersebut sangat peramah dan memberi kelulusan kepada saya untuk melakukan pengajaran makro di sekolah tersebut dan saya dikehendaki mengajar Tingkatan 1 (1A). Selepas itu saya menyediakan rancangan pengajaran dan juga bahan pengajaran. Memikirkan perkara yang harus dipelajari oleh pelajar juga bukan satu perkara yang mudah ditambahkan lagi dalam masa yang singkat iaitu hanya 40 minit sahaja. Mujurlah segalanya berjalan dengan lancar.

Pada hari saya mengajar tersebut, rasa gemuruh dan gementar menyelubungi diri saya kerana itu merupakan pengalaman pertama masuk dalam kelas dan melakukan sesi pengajaran dan ditambahkan lagi adanya guru panatia yang menilai dari belakang kelas. Masuk sahaja ke dalam kelas pelajar mengucapkan “selamat pagi” dan dari situlah timbulnya aura sebagai seorang guru. Bersyukur sangat pada hari terswebut kerana pengajaran yang saya rancang berjaya dilaksanakan mengikut perancangan. Pelajar pun berasa seronok dengan pengajaran yang saya rancang.

Setelah selesai, saya berjumpa dengan guru penilian dan berbincang dengan beliau. Banyak komen membina yang diberikan oleh beliau terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang saya lakukan. Namun bagi kali pertama mengajar, itu merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna untuk saya. Walaupun hanya 40 minit, tetapi aura menjadi guru dapat saya rasakan kerana saya dapat merasakan sendiri pengalaman mengajar di sekolah. Pengalaman yang saya tidak akan lupakan.








No comments:

Post a Comment