Tuesday, 19 March 2013

Etika Berpakaian Guru

Coretan 13
Etika Berpakaian Guru


Semasa melayari internet untuk mencari bahan sebagai media untuk pengajaran mikro, saya terjumpa lukisan kartun di atas. Lukisan kartun tersebut menunjukkan ketidaksesuaian guru dalam etika berpakaian. Bayangkan jika seorang guru tersebut memakai kebaya atau baju kurung untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di atas padang. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan proses pengajaran tidak berkesan malah guru juga turut tidak selesa dengan pemakaian tersebut.

Etika berpakaian dalam mengajar sesuatu subjek adalah memainkan peranan yang penting kerana pakaian yang tidak sesuai menyebabkan guru tidak dapat bergerak dengan sempurna dan keadaan ini akan menyebabkan pengajaran yang memerlukan pergerakan tidak berjaya. Oleh hal yang demikian, sebagai seorang guru yang profesional, saya berpendapat seorang guru haruslah bijak memilih penampilan yang menarik untuk tujuan mengajar. Hal ini kerana penampilan guru sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana bukan sahaja dapat menarik minat pelajar untuk belajar malah dapat meningkatkan keyakinan guru itu sendiri.


Guru yang bijak dalam membuat penampilan diri juga akan menjadi idola atau menjadi contoh etika berpakaian kepada pelajar. Hal ini dikuatkan lagi dengan satu pepatah yang saya selalu dengar iaitu “jika guru kencing berdiri, maka pelajar akan kencing berlari”. Pepatah ini menerangkan bahawa pelajar akan mengikut segala tindakan atau sikap guru sama ada tindakan tersebut baik atau tidak. Hal ini menunjukkan bahawa seorang guru berperanan penting untuk membina perwatakan pelajar.

No comments:

Post a Comment